Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum wbt dan salam sayang.
Fuhhh, sekian lamanya aku biarkan blog ni berkepuk begitu sahaja. Sedar tak sedar, dah lama aku tak menulis kan. Tapi hari ini aku nak tulis, nak luahkan rasa yang sekian lamanya terbuku dalam hati.
Adakah kerana pemakaian aku, orang menganggap aku ni tiada perasaan? Adakah kerana pembawaan aku, orang menafsir yang aku tidak akan pernah ambil pusing akan gelojak jiwa remaja? Atau mungkin, sikap aku sendiri yang menyebabkan aku dipandang sebagai manusia yang cuba melawan fitrah.
Ketahuilah, aku juga seperti kalian. Terasa juga ingin punya teman istimewa. Hati ini terjentik juga tatkala diusik ajnabi. Mata ini adakalanya turut memandang kedua kali. Mulut ini ada ketika terlepas juga pujian terhadap perwatakan si dia. Perasaan ini ada masanya bagai ingin menghamburkan rasa kasih pada dia. Adakalanya, terasa ingin juga berbalas pesanan dengan dia, yang boleh buat aku tersenyum setiap kali menatap skrin telefon pintarku.
Tetapi, kerana insan lain yang bertakhta di hati, aku tahankan segala rasa.
Kerana kasih pada insan itu ternyata lebih tinggi, melangkaui rasa kasih pada dia.
Kerana insan itu sebenarnya telah lama aku sayangi, meskipun tiada siapa yang nampak, tiada siapa yang tahu, kecuali Allah yang Maha Mengetahui.
Kerana insan itu, Abah dan Ayah.
Abah, Ayah,
Maafkan anakmu andai kerana diri ini, Abah dan Ayah menanggung dosa.
Maafkan bila anakmu ini tidak menjaga ikhtilatnya.
Maafkan bila anakmu ini tidak sempurna menjaga solatnya.
Maafkan bila anakmu ini tidak menundukkan mata dan hatinya daripada ajnabi.
Maafkan bila anakmu ini tidak menjaga aurat sesempurnanya.
Tapi Abah, tapi Ayah, ketahuilah,
Anakmu ini tidak pernah berhenti berusaha,
Agar bukan dirinya menjadi punca Abah dan Ayah ditarik ke neraka.
Agar bukan dirinya menjadi asbab segala amal ibadah Abah dan Ayah tinggal sia-sia.
Abah, Ayah
Doakan Adik di sini. Sebab di sini dah tak seperti yang adik sangkakan dulu.
Terlalu banyak dugaan yang menarik Adik untuk tewas dengan manisnya kepalsuan dunia.
Sampai Adik terlupa akan hakikat kebenaran akhirat itu.
Adik takut Adik tersungkur.
Adik takut Adik tak kuat.
Adik takut Adik alpa.
Walaupun Adik jauh daripada Abah,
Walaupun Adik tak rasa kehadiran dan kasih sayang Ayah,
Adik nak Abah dan Ayah tahu,
Yang adik sayang Abah dengan Ayah sangat-sangat.
Abah, Ayah,
Mungkin satu hari nanti Adik akan jumpa dengan putera hati Adik,
Tapi Abah dan Ayah tetap raja di hati Adik selama-lamanya.
Sayang Abah dengan Ayah sangat-sangat.
Appreciate. Dad. Daddy. Papa. Abah. Ayah. Abi. Walid. Bapak. Appreciate.