Realiti Generasi


Generasi hari ini gemar bersuara. Generasi hari ini lantang berkata-kata. Bukannya orang lain. Generasi aku sendiri juga. 

Muda-muda sudah bijak menilai. Mentah-mentah sudah terlibat dengan kancah politik. Suaranya besar, lantang menghamburkan hujah pendapat. Ada ketika nadanya keras, ada ketika terdengar sinis.

Generasi hari ini gemar menyalahkan orang lain. Generasi hari ini gemar mencaci maki kepada pemimpin, tak kisahlah di kanan atau kiri. Generasi hari ini sering merasakan dia sahaja yang betul. Dan ya, bukan orang lain. Generasi aku sendiri juga.

Kata mereka, pemimpin tidak mesra rakyat. Tidur di atas kerusi beralas tilam empuk. Pentadbir pula dikatakan kuku besi. Membiarkan yang dibawah terkapai-kapai. Pemerintah dikatakan tidak pandai memerintah. Menyebabkan organisasi tidak maju-maju.


Aku masih ingat bagaimana ketika aku diajukan soalan tentang pemimpin kiri atau kanan yang paling layak memerintah. Lantas jawabku mudah;

"Dalam usia sebegini muda, apa yang kita mengerti sebenarnya dengan politik itu. Erti perkataan 'politik' itu pun masih mengharapka En. Google apabila ditanya. Jika setakat tahu warna bendera hijau biru merah kuning, maka ada baiknya kita duduk diam sahaja. Untuk apa mengumpat caci, mengata orang lain tidak mampu memimpin, sedangkan diri bukanlah berintelektual mana."

Itulah realiti generasiku hari ini. Salah orang nampaknya jelas, tetapi jarang sekali mengambil ibrah daripadanya. Cacatnya pemimpin generasi atas memimpin dicanang merata, tetapi jarang berfikir bagaimana jadinya jika generasi sendiri yang memimpin kelak.


Generasi hari ini terjajah mindanya. Katanya yang di atas sepatutnya buat begitu dan begini, tetapi diri sendiri diri sendiri tak juga maju-maju. Yang memerintah sepatunya buat ini dan itu, tetapi hendak menolak selimut di awal pagi pun payah. Yang mentadbir tidak sepatutnya hukum begitu, tetapi lupa dia sendiri menjadi punca.


Aku sendiri pernah mempertikai yang di atas. Mengharapkan mereka sempurna umpama malaikat. Lama-lama, terlintas satu analogi ini:

"Ibarat aku mengharapkan pemimpin akan menjadi imam dalam jemaah solat orang yang di bawah. Tetapi bagaimana dia mahu menjadi imam, andai yang dipimpin sendiri tidak hadir berjemaah? Takkanlah dia bersolat bermakmumkan bunian?


Bangkitlah rakan segenarasi. Berhentilah mencerca dan mengkritik. Persiapkan diri, kerana kita sendiri bakal memimpin satu hari nanti. Ambillah ibrah sebanyak yang boleh daripada apa yang kita saksikan hari ini, buat pedoman untuk masa akan datang. 

InsyaAllah, bakal lahir generasi berintelektual dan berminda kelas pertama...

No comments:

Post a Comment