Saturday, 4 October 2014

Budak Twisties

Bismillahirrahmanirrahim…
Assalamualaikum wbt dan salam hormat buat para pembaca setia.



Pastinya anda tertanya-tanya, siapa anak kecil yang comel itu. Lelaki atau perempuan? Siapakah namanya? Berapa pula umurnya? Dan, mengapa hari ini aku menulis tentang dia?

Anak kecil itu ialah anak saudaraku, buah hati pengarang jantung. Puteri sulung kepada Along dan Kak Longku. Namanya, Nur Naazneen Humaira. Baru sahaja menyambut ulangtahun kelahirannya yang pertama pada 27 Ogos yang lalu. Hati ini terdorong untuk mencoret serba sedikit tentang dia tatkala aku menatap wajahnya yang sedang lena diulit mimpi…

Saat aku sedang menaip di papan kekunci ini, sambil itu mataku mengerling ke arahnya yang sedang nyenyak tidur, bimbang kalau-kalau dia terjaga. Tersenyum aku apabila melihat pelbagai aksi dan ragamnya ketika tidur. Walaupun umurnya baru sahaja setahun lebih, kerenahnya sudah macam-macam.Bagaikan masih terlihat ketika dia baru berusia tiga hari dengan tapak kaki yang masih merah sebesar dua jari. Ketika itu, seisi keluarga begitu gembira menyambut kehadirannya ke dalam keluarga kami. Malah, aku sendiri bagaikan tidak mahu ke sekolah kerana ingin berada dengannya 24 jam.

Masa pantas berlalu menyaksikan dia membesar begitu cepat. Daripada meniarap, merangkak, duduk hinggalah kini sudah mula bertatih untuk berjalan. Kini sudah pandai mengunyah makanan dengan giginya yang baru empat batang. Sudah bijak meminta untuk disuap. Sudah bijak mengajak orang bermain. Sudah bijak ketawa mengekek-ngekek. Sudah bijak mengajuk kelakuan orang lain. Haihhh, laju benar dia membesar. Sehingga tak terasa masa yang berlalu.

Naazneen, Maksu tak tahu bagaimana untuk menyatakan rasa gembira melihat Naazneen membesar dengan begitu baik. Tiada apa yang Maksu harapkan, kecuali mengimpikan Naazneen membesar menjadi insan yang  baik dan mulia pekerti. Yang paling penting, jadilah anak yang solehah. Semoga Allah merahmati hidup Naazneen dan semoga masih ada waktu untuk Maksu melihat Naazneen terus membesar.

Sekian, wassalam…


Appreciate. Our family. The one we love. When we still have the chances. 

No comments:

Post a Comment