Bismillahirrahmanirrahim…
Assalamualaikum wbt dan salam EidulAdha buat semua…
Semalam merupakan hari yang menggembirakan aku. Bukan sahaja
kerana menyambut Hari Raya Qurban bersama keluarga, malah kami menyambut hari
lahir ibuku yang jatuh tepat pada hari raya pertama. Kehadiran saudara mara
yang tidak putus-putus berkunjung melahirkan rasa syukur dalam hati. Kerana itu
jugalah, aku tidak berkesempatan untuk mencoret semalam. Penat rasanya melayan
ahli keluarga yang ramai, tambahan pula lama tidak berjumpa. Sudah tentulah
masa yang ada digunakan bagi berkongsi cerita dan bertanya khabar.
Bagiku, keluarga ialah segala-galanya. Walaupun kaya hingga
tenggelam di dalam timbunan emas, walaupun genius hingga gugur rambut di
kepala, walaupun popular hingga dikenali penghuni di ceruk Amazon, semua itu
tiada ertinya andai kita tidak punya keluarga.
Dalam keluargaku, Umi merupakan pendengar yang paling setia.
Kata-katanya penuh semangat dan nasihat. Abah bagaikan sahabat kerana kami berkongsi
minat dalam bidang sukan, terutamanya bola sepak. Aku kasihan melihat Abah
sekarang yang sudah kehilangan `geng’ apabila aku berpindah ke sekolah asrama.
Along dan Kak Long pula sangat prihatin dengan perkembangan
hidupku. Pengalaman hidup mereka berdua sering aku jadikan pedoman bagi memacu arah tuju. Angah, anak yang paling manja dalam keluarga. Walaupun akulah anak
bongsu, tetapi dia lebih manja daripadaku. Kami berdua sukar untuk berenggang,
dan kemana sahaja kami pergi, dia seboleh-bolehnya mahu agar pakaian kami sentiasa
sama. Naazneen pula, sudah tentulah penghibur kami. Keletahnya yang macam-macam
itu benar-benar mencuit hati. Menjadi kesayangan dan tumpuan semua, apatah lagi
setelah 15 tahun rumah itu sunyi daripada suara anak kecil.
Inilah keluarga, yang mendokong tatkala kita sudah hampir
menyembah bumi. Yang merai setiap kejayaan yang kita kecapi tanpa iri hati. Yang
menyayangi tanpa berbelah bahagi. Hargailah mereka selagi masih ada disisi. Jangan
meratapi dengan sesalan di hati andai mereka menutup mata nanti.
Sekian, wassalam…
Appreciate. Our family. The one we love. When we still have
the chances.
No comments:
Post a Comment